Radio Free Malaysia

May 8, 2013

WAJARKAH RAKYAT MENGIKTIRAF KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM KE-13, WAHAI PM ? (BACA: PEROMPAK MALAYSIA)

Radio Free Malaysia berkumandang kembali! Setelah melihat betapa kecewanya rakyat apabila kemenangan yang ingin dikecapi dirampas oleh Barisan Nasional, kami membuat keputusan untuk meneruskan siaran dari Kota London sebagai tanda solidariti kami bersama rakyat dan pimpinan PAKATAN Rakyat yang telah bertungkus lumus mempertahankan pusat undi masing-masing dari dicemari dengan insiden penipuan dan penyelewangan yang berleluasa, anjuran Barisan Nasional. Namun, apa pula balasannya untuk rakyat biasa yang mempertahankan kedaulatan proses demokrasi negara?

Kali ini YB Charles Santiago, Wakil Rakyat kita dari Klang menceritakan bagaimana 7 orang rakyat yang bertindak sebagai PACA dalam Pilihanraya ke-13 baru- baru in ditahan oleh pihak berkuasa kerana cuba menghalang pengundi hantu dari membuang undi di kawasan tersebut. Apakah ini melemahkan semangat beliau, yang telah kembali berkhidmat sebaik sahaja memenangi semula kerusi beliau di Klang? Tidak sama sekali. YB Charles Santiago tetap tegas meneruskan perjuangan membanteras penyelewangan yang terus-terusan menghakis demokrasi negara dan menyeru rakyat agar tidak patah semangat dengan apa yang berlaku.

Kami juga turut berpeluang untuk bersama saudara Wong Chin Huat, salah seorang ahli Majlis Tertinggi BERSIH yang berkongsi maklumat mengenai agenda BERSIH yang seterusnya untuk membela kemenangan rakyat dari terus diterjah dan dimanipulasi oleh Barisan Nasional. Beliau menceritakan cadangan BERSIH untuk menubuhkan Tribunal Rakyat serta peranan rakyat untuk menggunakan platform ini bagi membawa sebarang aduan berhubung salah laku pilihanraya di akar umbi.Kami turut bersama beliau yang tidak mahu mengiktiraf kemenangan Barisan Nasional kerana ianya diperolehi dengan menggunakan penindasan dan penipuan. Menurut beliau, kebenaran, lambat laun akan diketahui juga!

Selain dua temubual tersebut, RFM turut menyediakan santapan istimewa untuk memberi kefahaman tentang pendirian PAS mengenai Kerajaan Perpaduan , Kami memperdengarkan klip temubual Tuan Guru Nik Aziz yang mengupas isu ini moga-moga fitnah berkenaan penyatuan PAS dan UMNO tidak akan berlarutan. Dari Tuan Guru, kita ke skandal Najib Tun Razak yang belum diketahui kesudahannya. RFM menyediakan satu segmen khas yang terdiri daripada temubual Papa Orang Utan bersama beberapa orang tokoh, peguam dan aktivis yang memberikan maklumat terkini dan penting mengenai skandal Scorpene dan pembunuhan kejam Altantuya, dengan harapan rakyat tidak lupa akan rekod buruk pemimpin utama Barisan Nasional dalam membunuh demokrasi dan mencabul hak asasi manusia.

Dengarkan kupasan panas dan berani Radio Free Malaysia, khas buat rakyat yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan!

May 5, 2013

PILIHANRAYA KE-13 DICEMARI TAKTIK KOTOR BARISAN NASIONAL

Hari ini Radio Free Malaysia menyediakan temubual-temubual istimewa bersama rakyat , seorang pakar psikologi serta tidak lupa salah seorang calon PAKATAN Rakyat di Kuala Perlis, saudara Amin Ahmad yang berkongis pengalaman dan harapan menjelang keputusan rasmi Pilihanraya Umum Ke-13 malam ini.

Antara kupasan menarik malam ini sementara debaran menanti keputusan Pilihanraya ke-13 masih belum berakhir adalah Radio Free Malaysia membawakan kepada para pendengar, pandangan bernas dan penuh bervisi dari saudara Amin Ahmad, calon PAKATAN di Kuala Perlis. Beliau juga turut melahirkan kegusaran beliau dengan kehadiran pengundi tidak diundang yang dirasakan akan menjejaskan prospek kemenangan PAKATAN Rakyat jika tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Sikap SPR yang defensif, pada hemat saudara Amin, dianggap sebagai salah satu penghalang kepada penyelesaian masalah penyelewangan pilihanraya kali ini. Manakala, saudara Mohd Ezral Halil dari Negeri Sembilan, yang merupakan anak jati Lembing, membawakan kepada para pendengar rasa hati beliau sebagai seorang pengundi serta rakyat Malaysia yang memandang kegagalan untuk melaksanakan kewajipan mengundi itu sebagai satu pengkhianatan yang besar kepada Negara.

Bercakap tentang pengkhianatan, saudara Muhammad Iqbal Al-Banna dari Kajang, turut melahirkan rasa kekesalan beliau dengan kes pengundi hantu yang turut melanda kawasan itu. Apa yang nyata,perkongsian mala mini membuktikan memang terdapat penyelewengan dalam pilihanraya kali ini dan mungkinkah rakyat akhirnya akan mengatasi rasa takut mereka dan menongkah arus? Dr. Balqis, seorang pakar psikologi turut diundang oleh Radio Free Malaysia kali ini, bagi memberikan pandangan beliau tentang isu rakyat yang takutkan perubahan. Kupasan menarik Dr. Balqis diharapkan berupaya menjadi panduan dan motivasi kepada para pendengar untuk menangkis perasaan takut dan mendepani perubahan bersama PAKATAN Rakyat.

Keputusan penuh Pilihanraya ke-13 masih belum diperolehi, namun bibit-bibit kemenangan untuk PAKATAN semakin menyerlah, percayalah, kemenangan ini bakal berpihak kepada rakyat!

May 4, 2013

MASANYA SUDAH TIBA, KUASA DI TANGAN RAKYAT!

Esok adalah hari yang penting dalam sejarah politik dan demokrasi Malaysia. Memetik kata-kata Saudara Mazir Ibrahim, tokoh muda DAP yang juga calon Pakatan Rakyat untuk P165 Tanjong Piai, Johor, “Esok wajar menjadi satu hari yang bahagia untuk semua rakyat Malaysia”.

Atas dasar itulah, Radio Free Malaysia ingin menggunakan kesempatan yang ada untuk membawakan kepada para pendengar, bukan sahaja kebobrokan moral dan politik Barisan Nasional, tetapi juga, kekuatan dan harapan PAKATAN Rakyat untuk meruntuhkan tembok prejudis dan rasisme di dalam masyarakat Malaysia, kelolaan rejim BN yang selama ini, menggunakan politik perkauman, agama dan pornografi murahan untuk mempertahankan kuasa dan kekayaan mereka.

Oleh itu, hari ini Radio Free Malaysia mengutarakan temubual eksklusif kami bersama saudara Mazir Ibrahim, Ketua Biro Pakatan Rakyat, DAPSY Kebangsaan, seorang anak jati Johor yang bakal menggegarkan persada politik di selatan tanahair dengan pemikiran beliau yang progresif dan keprihatinan beliau kepada rakyat di akar umbi. Beliau telah berkongsi pandangan dan harapan beliau di Tanjong Piai, Johor seterusnya Malaysia terutamanya dalam menggembeling kepimpinan muda negara untuk perubahan politik Malaysia.

Kita turut bersama saudara Haris Ibrahim, penggerak Asalkan Bukan UMNO (ABU), satu gerakan akar umbi yang sedang berusaha gigih untuk membanteras serta mendedahkan kepincangan pilihanraya ke-13 ini, terutamanya berkenaan kes pengundi hantu yang diterbangkan khas oleh Barisan Nasional ke semenanjung yang pada hakikatnya, adalah satu pengkhianatan yang besar kepada negara. Kemarahan saudara Haris memang tidak dapat dibendung lagi, dan kami di Radio Free Malaysia sedia maklum bahawa begitu jugalah sentimen rakyat secara keseluruhannya. Namun begitu, selaku rakyat Malaysia yang matang dan bertanggungjawab, saudara Haris menyeru bahawa hanya ada satu cara sahaja untuk rakyat Malaysia menumpaskan taktik kotor Barisan Nasional ini; tidak lain tidak bukan, dengan kuasa undi anda semua!

Radio Free Malaysia tidak lupa untuk turut menyelitkan informasi terkini dan mesej bermakna dari pimpinan PAKATAN, buat ingatan pendengar semua. Turut diselitkan ceramah dari Ustaz Abdullah Khairi yang dibuang ke Pulau Ketam oleh Barisan Nasional, kerana didakwa menghasut rakyat untuk menggulingkan Barisan Nasional dalam khutbah beliau di Pulau Pinang. Perdengarkanlah rintihan hati serta seruan beliau kepada rakyat semua agar menumpaskan rejim Barisan Nasional. Bukan itu sahaja, kami turut membacakan kepada anda semua, pelan tindakan PAKATAN Rakyat untuk 100 hari pertama memegang kerajaan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada mereka sebagai satu petanda positif ke arah perubahan yang diimpikan.

Apa yang ditunggu lagi, wahai pendengar semua. Semboyan pilihanraya akan dibunyikan beberapa jam lagi. Laksanakan hak anda demi rakyat, negara dan anak bangsa tercinta.

Sehingga bertemu lagi di lain masa. Salam perjuangan dan perubahan dari krew Radio Free Malaysia.

May 3, 2013

BERNAFAS DALAM LUMPUR

Semakin dekat dengan hari pengundian pelbagai isu telah dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat, isu ini seolah-olah menyebabkan bebanan kerja kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat lantas dengan senang-lenang menafikan segala tuduhan dengan penjelasan yang jengkel. Adakah rakyat ini tidak layak untuk melaporkan sesuatu yang difikirkan sangsi dan adakah rakyat yang kini bijak, sudah mula mengesan aktiviti sumbang kerajaan dalam mentadbir negara?

Kami semua sudah lemas dengan keadaan negara, kos hidup yang tinggi dan kerajaan membelanjakan segala hasil mahsul negara seperti tidak bertuan. Segala penjelasan yang dipinta dipandang remeh, penyebar maklumat dengan fakta ditangkap. Bilakah ini akan berakhir? Kami memohon SPR untuk menjadi lebih peka dan memihak kepada rakyat bukan kepada Kerajaan sementara yang memerintah dalam tempoh sebelum pilihanraya ini.

Kami bawakan kepada anda temubual daripada Laksamana ( B ) Hj Imran Abdul Hamid tentang pemindahan kotak undi pos tanpa kawalan dan pemerhatian dari Balai Polis Manjung ke satu lokasi yang tidak diketahui. Bersama Puan Zuraida Kamarudin Ketua Wanita Keadilan Nasional berkenaan isu yang paling menggemparkan iaitu tentang “Pengundi Hantu”. Puan Nurhanim Dato’ Mokhsen Ketua Wanita Keadilan Sarawak mengupas tentang isu Tanah Adat di Sarawak dan situasi sokongan daripada wanita. Ahli Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh mendedahkan pegawai Polis yang mengundi lebih daripada sekali yang berlaku di Sri Aman selain berkongsi suasana berkempen beliau di Batang Lupar.

Terdapat pelbagai kisah daripada rakyat yang juga kami perdengarkan selain daripada lagu-lagu yang bakal memberikan anda gambaran jelas, kita sudah lemas bernafas dalam lumpur, kita mahukan Malaysia yang lebih baik. Terus dengarkan.

May 2, 2013

EKSPRESI EKSPRESS RAKYAT

Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama, setelah penjajah meninggalkan jejak sejak sekian lama, kerajaan UMNO Barisan Nasional telah mewujudkan kabus dalam minda setiap dariada rakyatnya. Berita 13 May telah menyebabkan hubungan kaum menjadi begitu tegang selama ini dan kita bernasib baik dalam gelombang kebangkitan yang kini telah cukup terasa, tampil seorang individu membongkar apa yang sebenarnya berlaku.

Kami bawakan anda Dato’ Thamrin Tun Ghafar Baba yang dengan cukup berani mendedahkan isi segar tentang episod berdarah tersebut. Berita penangkapan Blogger Milo Suam juga membuka dimensi amalan undang-undang yang berat sebelah apabila sesuatu perkara yang diharapkan kepada penjelasan berakhir dengan pelbagai akta yang diwujudkan untuk mengekang maklumat disampaikan dan dipanjangkan. Temubual bersama New Sin Yew peguam beliau, menerangkan kepada kita tentang situasi penangkapan yang berlaku semalam. Puan Fuziah, Naib Presiden PKR dan juga calon Kuantan mengungkap kebimbangan tentang keselamatan kotak undi Pos yang berada dalam kawalan Polis.

Selain itu pelbagai sisipan dan lagu-lagu semangat bersama bersiaran untuk semua para pendengar.

Amanat Ulama Kedah dan juga penerangan tentang isu mengundi oleh Big Boss Ustaz Azhar Idrus.

Dengan segala isu telah kami keudarakan jadikan ia sebuah penilaian dan tunjukkan sokongan dan harapan anda di kotak undi pada PRU13 nanti. Jangan pula hanya anda seorang ketinggalan Ekspress Rakyat untuk ke destinasi impian, Malaysia yang lebih baik. Teruskan mendengar.

May 1, 2013

Jangan biarkan barisan nasional merampas pilihanraya ke-13

Malam ini Radio Free Malaysia (RFM) membawakan temubual eksklusif bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan penuh bersemangat membincangkan kontroversi dakwat kekal oleh SPR yang masih belum terungkai serta gejala pengundi berhantu yang semakin berleluasa di Malaysia gara-gara BARISAN NASIONAL yang ingin memastikan mereka memenangi pilihanraya kali ini dengan cara apa sekalipun. Di samping itu, Datuk Seri turut menyentuh peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap PAKATAN RAKYAT.

Selain temubual eksklusif itu, kita turut bersama dengan Dato’ Johari Abdul, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Kedah bagi mendapatkan pendedahan terkini dan terpanas mengenai tindakan ayahandan Saiful Bukhari, iaitu Encik Azlan Mat Lazim yang menarik semula kenyatan beliau mengenai anakandanya yang didakwa diliwat. Pendedahan panas ini turut menunjukkan betapa BARISAN NASIONAL sedang mengalami kegersangan idea dan visi apatah moral lantas, sanggup menggunakan taktik kotor yang berbentuk ugutan dan penindasan untuk menewaskan PAKATAN RAKYAT yang semakin kukuh kedudukannya di hati rakyat.

Sepertimana semalam, RFM akan terus mengutarakan suara wanita PAKATAN, khas buat pendengar kami yang setia. Malam ini kita akan bersama-sama dua pimpinan wanita PAKATAN yang tidak asing lagi; Puan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita Keadilan Nasional yang lantang menjelaskan Agenda Wanita Nasional serta Puan Siti Aishah Shaik Ismail, bakal “giant-killer” di Parlimen Tambun, yang sungguh tegas dan beriltizam tinggi untuk membawa kemenangan kepada PAKATAN di Darul Ridzuan.

Mesej Radio Free Malaysia malam ini cukup jelas, kami yakin bahawa dengan semakin hampirnya kita kepada Pilihanraya, maka semakin banyaklah cabaran dan rintangan yang akan “menghantui” usaha PAKATAN untuk menawan kerajaan. Apa yang lebih utama adalah, asakan dan taktik kotor BARISAN NASIONAL ini hanyalah sia-sia sekiranya semua rakyat Malaysia melaksanakan kewajipan mereka. Justeru, hayatilah mesej yang disampaikan oleh RFM dan UBAHlah kerajaan pada 5hb Mei ini!Enter your description

April 30, 2013

Tamparan wanita bakal menggegar negara

Hari ini Radio Free Malaysia mendedikasikan siaran malam ini khas untuk wanita di luar sana, yang merupakan teraju perubahan negara yang pastinya akan membantu PAKATAN rakyat mencipta sejarah politik tanahair.

Sokongan wanita kepada PAKATAN rakyat tidak dapat dinafikan lagi sungguhpun cuba dikaburi dengan sumbangan dan rasuah oleh Barisan Nasional berupa bantuan BR1M, PR1MA dan banyak lagi sogokan bersifat sementara. Menyedari peripentingnya membawakan kepada para pendengar, suara sokongan dan harapan di peringkat akar umbi, Radio Free Malaysia telah meneruramah Puan Zuraiha, seorang wanita profesional yang terbukti memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada PAKATAN Rakyat di kawasan Bandar Baru Bangi. Ketegasan beliau menyokong calon PAKATAN Rakyat di sana yang bukan hanya berdasarkan emosi tetapi satu pilihan yang rasional dan bijak wajar dicontohi oleh para wanita di luar sana.

Jika sebelum ini, beliau dikenali sebagai seorang wanita cekal, seorang ahli Parlimen yang disegani serta seorang pemidato yang lembut tetapi tegas di pentas politik, tidak ramai di antara kita yang berupaya untuk menyelami rasa hati dan pahit getir Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan, mendepani cabaran semasa selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat. Apa yang lebih menarik malam ini adalah beliau akan turut berkongsi pengalaman beliau yang tidak dapat dilupakan sewaktu beliau terlibat langsung dalam politik. Ikutilah cetusan hati Kak Wan, eksklusif di Radio Free Malaysia.

Kita juga bertuah kerana dapat menemuramah Puan Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat , yang kini sedang sibuk berkempen untuk pilihanraya yang akan datang. Dikurniakan sebuah keluarga yang amat memahami perjuangan politiknya, Puan Siti, turut berkongsi pandangan beliau yang kritis dan tajam berkenaan kebobrokan Wanita UMNO dan pada masa yang sama, menampilkan Agenda Wanita Nasional yang dirintis oleh Wanita Pakatan Rakyat, sebagai bukti iltizam PAKATAN Rakyat kepada usaha untuk mempertahankan martabat wanita di Malaysia.

April 29, 2013

Sampah, cemarkan minda busukkan negara

Nilai berita tidak lagi menjadi tanggungjawab kepada penyedia media untuk disebarkan. Menjelang pilihanraya umum ke 13, UMNO Barisan Nasional tanpa rasa bersalah terus menyumbatkan berita-berita tanpa kredibiti dalam usaha memenangi pilihanraya. Mereka tanpa segan silu menyiarkan berita tanpa fakta dan berat sebelah. Menjadi tanggungjawab kami di Radio Free Malaysia untuk terus menyalurkan informasi yang tepat untuk disiarkan.

Nurul Izzah menyelongkar kisah pengundi pos luar Negara yang khabarnya tidak dijalankan secara professional dan serangan blogger UMNO Barisan Nasional dengan pendedahan beliau memiliki akaun bernilai 50 bilion peso di Filipina.

Tian Chua pula menyelar Zahid Hamidi yang seolah-olah menuding jari tanpa bukti tentang hasrat membuat tangkapan dalang Lahad Datu selepas pilihanraya.

Sarawak membawakan situasi terkini melalui temubual bersama Nicholas Bawin dalam perjuangan memenangi pilihanraya kali ini.

Mazlan Aliman yang selama ini berjuang untuk peneroka dilemparkan tuduhan meracuni pemikiran peneroka, ikuti reaksi beliau dan R Sivarasa calon Parlimen Subang berkongsi maklumbalas kaum India yang dikatakan tidak dibela dan dihina oleh Pakatan Rakyat.

Alicia Keyah terus mencari pasal dan tidak ketinggalan membawakan satira politik semua para pendengar.

Kita menuntut supaya penyedia media utama mengambil tanggungjawab menyiarkan berita yang adil dan bertanggungjawab dalam setiap berita yang dilaporkan. Berani kerana benar, teruskan mendengar Radio Free Malaysia.

April 28, 2013

Mulanya di sini

Setelah sekian lama kita didustakan dengan fakta yang direka untuk hanya memuaskan hati pemimpin UMNO Barisan Nasional.  Kita sering tertanya-tanya tentang kebenarannya.  Sehingga bila kita akan disumbat dengan informasi-informasi jahat ini untuk mereka mengekalkan kuasa. Pembohongan, korupsi dan ketirisan yang berlaku sepanjang pemerintahan UMNO Barisan Nasional telah cukup merugikan rakyat dan Negara.

Temubual bersama rakyat antara segmen yang kami siarkan. Saudara Rosli Ibrahim seorang OKU menceritakan kepada kita tentang pengabaian kerajaan UMNO Barisan Nasional  terhadap komuniti mereka juga temubual dengan rakyat di Kedah dan Selangor yang berkongsi pengalaman pemerintahan Pakatan Rakyat.

Dr. Zulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS membawa kita mengupas isu-isu terkini dan juga situasi kempen beliau di Parlimen Kuala Selangor.

Beberapa pesanan khidmat masyarakat juga disampaikan untuk seluruh pendengar bagi mempastikan anda mendapat maklumat yang jelas tentang proses pengundian yang bakal dilalui oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sesungguhnya ini adalah pilihanraya penentu untuk kita semua dan mulanya disini kita bakal menjadi sebuah Negara maju dengan pencapaian yang tentunya lebih membanggakan.

Teruskan mendengar.

April 27, 2013

Menghitung hari memikul amanah rakyat

Rakyat telah dihantui dengan kos sara hidup yang tinggi, doa mereka agar harga minyak dapat diturunkan bagi membendung permasalahan ekonomi sendiri dan keluarga. Kita ingin melihat hasil kekayaan negara diuruskan dengan berkesan bagi mencapai kemakmuran rakyat yang sudah muak dengan pelbagai alasan yang dinyanyikan oleh UMNO Barisan Nasional. Melayu kononnya ingin dibela, namun pembelaannya hanya melepaskan batuk di tangga. Di khabarkan bantuan RM 500 adalah satu-satunya hikmah meringankan beban rakyat, sedang mereka pemimpin yang dipilih oleh rakyat, terus memekakkan telinga mendengar rintihan kita semua rakyat Malaysia.

Kami adunkan siaran pada malam ini dengan temubual, kupasan dan komen-komen yang kami niatkan untuk membina pemikiran rakyat Malaysia supaya menyedari kita semua telah tertipu dengan helah UMNO Barisan Nasional.

Bersama Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat yang memberikan pengertian pilihan rakyat terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri harapan Malaysia dan komen beliau tentang kenyataan Najib Razak tentang penurunan harga minyak yang bagi beliau tidak efektif kerana menguntungkan yang kaya dan mendendangkan BR1M adalah penyelesaian mutlak.

Seterusnya kita mendengar temubual bersama saudara Bah Toni tentang persiapan beliau menghadapi pilihanraya bagi DUN Cenderiang Perak. Orang asal yang ingin berjuang terhadap bangsanya yang lama dilupakan. Profesor Shahrir, Pengasas GATERA : Gerakan Intelektual Rakyat membawa kepada pencerahan dan penentangan mereka tentang isu-isu yang tidak beretika dan tidak matang dalam arena politik Negara.

Seterusnya kamiselitkan amanat Ustaz Azhar Idrus dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 dan sedutan temubual BBC bersama Putera Saud Abdul Mohsen, Gabenor Wilayah Ha’il, keluarga Diraja Arab Saudi, dengarkan apa yang bakal beliau perkatakan.

Semua yang disiarkan adalah untuk semua rakyat Malaysia yang menghitung hari menanti saat hadirnya seorang pemimpin harapan untuk memimpin Malaysia dengan lebih baik dan menggapai gemilang.

Teruskan mendengar.